KUALA LUMPUR: Seekor harimau belang yang sebelum ini dilihat berkeliaran sekitar Ladang Aramijaya, Mersing, Johor, ditemui mati semalam di kawasan berbukit dalam ladang berkenaan.
Dalam satu kenyataan hari ini, Kementerian Air, Tanah dan Sumber Asli, berkata pasukan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) Mersing yang menjejaki haiwan itu dimaklumkan penemuan bangkai harimau pada 12.30 tengah hari semalam oleh pengurus ladang.
“Hasil siasatan awal PERHILITAN mendapati Harimau Malaya itu dipercayai mati dua hingga tiga hari lalu berdasarkan keadaan bangkai yang mula mereput. Siasatan awal tidak menemui sebarang kesan harimau ini mati ditembak, dijerat atau disebabkan oleh apa-apa perbuatan khianat yang lain.
“PERHILITAN percaya punca kematian Harimau Malaya ini berkemungkinan disebabkan penyakit ‘Canine Distemper’ iaitu sama seperti penyakit yang dialami ‘Awang Besul’ (harimau belang) di Terengganu pada Julai 2019…”
Doktor Veterinar Perhilitan
Doktor Veterinar Perhilitan akan menjalankan bedah siasat bagi mengetahui punca sebenar kematian harimau itu.
Pada 1 Mac lalu, PERHILITAN Negeri Johor menerima aduan daripada orang awam mengenai seekor Harimau Malaya dilihat merayau dalam kawasan Ladang Site 15, Ladang Aramijaya, Mersing, Johor.
Video mengenai harimau itu tular dalam media sosial serta mendapat liputan akhbar tempatan.
Operasi Menyelamat Hidupan Liar
Kakitangan PERHILITAN Mersing ditugaskan untuk mengawal kawasan ladang serta menyiasat kawasan persekitaran bagi mengambil tindakan susulan, iaitu untuk menangkap dan memindahkan harimau ke tempat yang lebih selamat.
Operasi itu turut mendapat bantuan teknikal kakitangan Pusat Menyelamat Hidupan Liar Kebangsaan bagi tujuan pemasangan perangkap.
Hubungi PERHILITAN
Kementerian meminta orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan Harimau Malaya untuk terus menghubungi PERHILITAN di talian 1-800-88-5151. – BERNAMA
Artikel ini disiarkan pada 5 Mac 2020 | Berita Harian Online