Selamatkan ‘Raja Rimba’ daripada kepupusan

Putrajaya: Spesis Harimau Malaya yang dianggap khazanah berharga negara sudah dikategorikan sebagai “sangat terancam” sejak Jun 2015.

Populasi Harimau Malaya diancam kepupusan dengan hanya tinggal kira-kira 200 ekor sahaja haiwan itu di Semenanjung Malaysia ketika ini.

Jika pemburuan dan pembunuhan terus menghantui hidupan liar ini bagi mendapatkan kulit, daging, kuku, taring serta tulangnya, Harimau Malaya bakal pupus menjelang 2022.

Perkara itu diakui Ketua Landskap Harimau Tabung Hidupan Liar Sedunia (WWF), Dr Mark Rayan Darmaraj ketika ditemui pada program Malayan Tiger Run 2019 di sini, pada Ahad.

“Saya rasa usaha kita sepatutnya sekurang-kurangnya menstabilkan populasi (Harimau Malaya). Memang sukar untuk kita menggandakan populasi harimau dan usaha yang perlu kita buat adalah mengatasi masalah pemburuan haram. ni kerana kadar reproduksi (Harimau Malaya) berkurangan disebabkan kekurangan sumber makan.”

– Ketua Landskap Harimau Tabung Hidupan Liar Sedunia (WWF), Dr Mark Rayan Darmaraj

Oleh kerana Harimau Malaya hanya terdapat di Semenanjung Malaysia, kepupusannya di sini bermakna kepupusan subspesies ini secara menyeluruh.

Sehingga kini, tiga subspesies harimau liar telah pupus iaitu Harimau Bali, Harimau Kaspia dan Harimau Jawa.

Mengulas lanjut, Dr Mark tidak menolak kemungkinan sekiranya tiada tindakan drastik, populasi Harimau Malaya ini boleh lenyap dalam tempoh lima hingga 10 tahun.

“Pada tahun 2010, matlamat kami adalah mensasarkan 500 hingga 1,000 ekor (pertambahan) Harimau Malaya dan ini sebelum penganjuran Persidangan Harimau.

“Jadi, Malaysia sudah berikrar sebelum Persidangan Harimau berlangsung lagi (untuk menggandakan jumlah Harimau Malaya). Jadi bagi kami untuk memastikan kita dapat memulihkan (jumlah) harimau, terdapat perbagai perkara perlu dilakukan. Jadi, sasaran terbesar sekarang adalah pemburuan haram,” katanya.

Dalam pada itu, Dr Mark tidak menolak kemungkinan warga tempatan menjadi “orang tengah” membantu sindiket pemburuan haram.

Katanya, pihaknya mengesan pemburu haram dari Thailand, Kemboja, Vietnam dan Laos bertindak menceroboh hutan negara bagi menjerat harimau.

Tegasnya, jika ia tidak dicegah, negara bukan sahaja kehilangan spesis harimau malah hidupan liar lain.

“Kita fokus pemburu yang ada dalam hutan itu, tetapi yang paling utama focus kita adalah mengenalpasti orang tengah dan bagaimana mereka mendapat bangkai atau bahagian-bahagian harimau itu dan kemudian menyeberangi sempadan dan di mana ia berakhir (negara).

“Kalau kita dapat menjejaki trek perjalanan itu, boleh boleh mematahkan (sindiket tersebut),” katanya.

Justeru, tanggal 29 Julai setiap tahun disambut sebagai Hari Harimau Sedunia selepas persidangan pertama berlangsung di St Peterburg, Rusia, 29 Julai 2010.

Malayan Tiger Run 2019 turut diadakan dengan sokongan Malayan Banking Bhd.

Selain meraikan Sambutan Hari Harimau Sedunia 2019, program ini juga sebagai usaha memberi kesedaran kepada orang ramai mengenai langkah memulihara Harimau Malaya.

Artikel ini disiarkan pada 28 Julai, 2019 14:43 MYT | Astro Awani

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to Top