Tanggal 29 Julai setiap tahun disambut sebagai Hari Harimau Sedunia selepas persidangan pertama berlangsung di St Peterburg, Rusia pada 29 Julai 2010.
Melalui persidangan tersebut, Malaysia sudah berikrar bukan sahaja untuk mencegah harimau daripada pupus, malah menggandakan jumlahnya.
Malangnya, aktiviti pemburuan dan pembunuhan didapati terus dilakukan secara berleluasa terhadap Harimau Malaya di negara ini. Jika aktiviti haram itu tidak dikawal, dijangkakan harimau bakal pupus menjelang tahun 2022.
Kenyataan ini sememangnya menyedihkan lebih-lebih lagi bagi pencinta haiwan.
Semua pihak kini perlu memandang nasib ‘Raja Rimba’ ini dengan lebih serius bagi mencegah aktiviti-aktiviti haram yang begitu rakus membunuh harimau untuk mendapatkan kulit, daging, kuku, taring dan tulangnya.
Kira-kira 60 tahun yang lalu, Semenanjung Malaysia dilaporkan memiliki lebih 3,000 ekor Harimau Malaya yang mendiami kawasan hutan belantara yang pada ketika itu kurang ancaman kerosakan.
Ketua Landskap Harimau, Tabung Alam Malaysia (WWF-Malaysia), Dr Mark Rayan Darmaraj mengakui pengurangan populasi haiwan tersebut di negara ini berlaku amat pantas dan terlalu drastik.
Hasil kajian yang dijalankan pada 2009 hingga 2011, WWF-Malaysia mendapati hanya terdapat lebih kurang 50 ekor harimau mendiami di Kompleks Hutan Belum -Temenggor.
Selain aktiviti pemburuan, satu lagi faktor yang mendorong kepupusan Harimau Malaya ialah kemusnahan hutan.
Dalam kempen ‘Selamatkan Harimau Malaya Kita’ baru-baru ini, kerajaan telah mengisytiharkan perang terhadap pemburu haram dan ini akan menjadi agenda dan komitmen untuk semua rakyat di negara ini.
Selain itu, kerajaan turut berusaha meningkatkan rondaan di bawah Program Perlindungan Harimau dan Rondaan (TP3). Malah, usaha sama ini menerima bantuan daripada Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk pelaksanaan di lapangan.
Dengan langkah dan penguatkuasaan secara berterusan ini, diharap usaha pemuliharaan Harimau Malaya berjaya sebagaimana yang kita inginkan.
Artikel ini disiarkan pada 31 Julai 2019 | SUARA SINAR