Pemburu Haram Diberkas, Bangkai Harimau Dirampas

KUALA TERENGGANU: Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) membongkar kegiatan sindiket pemburu haram dianggotai tiga lelaki selepas menyerbu sebuah rumah di Taman Perumahan Kampung Pasir Semut, Chukai, Kemaman, semalam.

Ketika serbuan dilakukan kira-kira jam 6.30 petang, tiga suspek terbabit sedang berurus niaga untuk menjual bangkai harimau belang.

Ketiga-tiga lelaki berusia dalam lingkungan 60-an itu kemudian ditahan untuk siasatan lanjut.

Pengarah PERHILITAN negeri, Mohd Hasdi Husin, berkata hasil pemeriksaan dilakukan pihaknya menemui seekor bangkai harimau belang jantan yang sudah dilapah dan dipotong kepada empat bahagian dalam bilik air premis itu.

Katanya, semua organ dalaman harimau itu sudah dijual dan hasil pemerhatian mendapati ada kesan jerat di kaki hadapan sebelah kiri dan satu kesan tembakan di tengah kepala harimau yang dianggarkan berusia antara 15 dan 20 tahun itu.

“Berdasarkan keadaan bangkai harimau yang ditemui, kita percaya binatang liar yang dilindungi itu ditembak sehari sebelum ditemui.

“Modus operandi pemburu haram itu ialah memasang jerat diperbuat daripada dawai selepas mengenal pasti lokasi laluan harimau, manakala seorang daripadanya bersembunyi di atas pokok untuk menembaknya.”

– Pengarah PERHILITAN Terengganu, Mohd Hasdi Husin

Mohd Hasdi berkata, proses melapah untuk mengeluarkan organ dilakukan di tempat kejadian dan bangkainya dipotong kepada empat bahagian bagi memudahkan kerja pemunggahan.

Katanya, organ harimau seberat kira-kira 150 kilogram itu, yang biasanya digunakan untuk tujuan perubatan, dipercayai dijual pada harga kira-kira RM150,000

Tiga lelaki itu ditahan mengikut Seksyen 68 (2) (c), Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 (Akta 716) kerana mengambil atau menyimpan mana-mana bahagian atau terbitan hidupan liar yang dilindungi sepenuhnya tanpa permit khas.

Jika sabit kesalahan boleh didenda tidak kurang RM100,000 dan tidak lebih RM500,000 dan penjara tidak lebih lima tahun,” katanya.

Mohd Hasdi berkata, tangkapan semalam adalah terbesar di negeri ini sejak 20 tahun lalu, membabitkan pemburu haram.

Artikel ini disiarkan 21 Januari 2016 | BERITA HARIAN ONLINE

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to Top