Patutlah Harimau Malaya makin pupus…

HARGA seekor harimau Malaya yang boleh mencecah hampir RM1 juta, selain setiap bahagian tubuhnya mempunyai ‘khasiat’ dan kegunaan tersendiri menyebabkan haiwan itu semakin diancam kepupusan.

Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli, Dr Xavier Jayakumar berkata, spesies itu mendapat permintaan tinggi dalam pasaran antarabangsa untuk digunakan dalam bidang perubatan tradisional.

Beliau berkata, hampir keseluruhan bahagian harimau mempunyai kegunaan dan ‘khasiat’ tersendiri, sekali gus menjadikan spesies itu mendapat permintaan tinggi di pasaran gelap.

“Harga haiwan terancam ini boleh mencecah antara ASD150,000 (RM620,000) hingga USD200 (RM827,000). Sebab itu pemburu haram sanggup mengambil risiko memburunya walaupun sedar tindakan yang bakal dihadapi jika tertangkap. “

“Ketika ini, di kawasan hutan kita hanya ada kira-kira 350 ekor harimau Malaya berbanding lebih 3,000 ekor sebelum ini di seluruh Malaysia dan jika tiada langkah pemuliharaan, spesis ini akan pupus dalam tempoh 20 tahun akan datang,” katanya selepas merasmikan International Union for Conservation of Nature (IUCN) Symposium and Red List Assessment 2018 di Universiti Malaysia Terengganu (UMT) di Kuala Nerus, hari ini.

Kuku harimau yang dirampas pegawai PERHILITAN dari lelaki warga Indonesia di Pelabuhan Port Dickson. FOTO PDRM

Katanya, kementerian melalui Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) akan menjalinkan kerjasama dengan Pasukan Gerakan Am (PGA) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) serta sukarelawan terutama penuntut universiti dalam mengatasi isu berkenaan.

“Dalam menangani isu ini, kita kena halang pemburu haram ini masuk ke dalam hutan yang mana antara perangkap digunakan ialah jerat dawai.

“Saya dimaklumkan terdapat antara 1,000 hingga 2,000 jerat dawai digunakan di seluruh hutan di Malaysia dan kita tidak mempunyai anggota penguatkuasa yang cukup untuk membuat rondaan.

“Ketika ini, hanya terdapat 30 penguatkuasa PERHILITAN dan 20 lagi terdiri daripada sukarelawan daripada Dana Hidupan Liar Sedunia (WWF) yang turut sama melakukan rondaan,” katanya.

Beliau berkata, sekurang-kurangnya 50 orang lagi diperlukan untuk bersama-sama melakukan pemantauan dengan kekerapan 12 kali setahun untuk membuang jerat yang ada di dalam hutan.

“Jerat dawai ini bukan hanya mengancam spesies harimau, tetapi juga haiwan lain seperti rusa dan jika kita dapat membuang semua jerat ini, kita boleh meningkatkan populasi harimau.

“Selain itu, kita akan memperketatkan Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 sedia ada supaya pemburu haram ini takut untuk menceroboh hutan simpan negara,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 24 September 2018 @ 4:49 PM | Harian Metro Online

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to Top