KUALA LUMPUR: Seramai lapan pemburu haram terbabit dalam menjarah khazanah flora dan fauna negara ditahan bulan ini dalam Operasi Bersepadu Khazanah, dijalankan oleh polis bersama Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan).
Timbalan Pengarah Pasukan Gerakan Khas, Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (Gerakan), Zainal Abidin Kassim berkata, jumlah keseluruhan ditahan sejak operasi bermula Sept lalu adalah seramai 46 individu termasuk seorang wanita.
“Tangkapan ini melibatkan rakyat dari negara jiran seperti Thailand, Indonesia, China, Myanmar, Kemboja dan enam orang lelaki rakyat tempatan,” kata beliau dalam sidang media Operasi Bersepadu Khazanah, hari ini.
Zainal turut memaklumkan kejayaan operasi pasukannya di beberapa lokasi di Semenanjung Malaysia, melibatkan lokasi di Hutan Simpan Labis, Johor, Gua Musang, Kelantan, Hutan Simpan Ulu Muda, Kedah dan di kawasan rezab Taman Negara Endau-Rompin, Pahang.
“Pada 9 Nov, di Hutan Simpan Labis Johor, seorang leaki rakyat tempatan ditahan. Hasil pemeriksaan berjaya merampas beberapa tumbuh-tumbuhan disyaki diambil daripada Hutan Simpan Labis.
“Antara tumbuhan dirampas adalah spesis orkid hutan serta pokok kacip fatimah. Di Gua Musang, Kelantan, pada hari sama seorang lelaki warga Indonesia ditahan, hasil siasatan mendapati beberapa barangan disyaki sebahagian dari hidupan liar dirampas.
Ia seperti sebahagian kuku harimau, kantung harimau, taring harimau, air mani gajah dan kulit kijang. Seorang lagi lelaki warga Indoneia juga ditahan di lokasi sama dan memiliki barangan serupa.”
– Timbalan Pengarah Pasukan Gerakan Khas, Zainal Abidin Kassim
Tambah Zainal, dalam operasi dijalankan di Hutan Simpan Ulu Muda, Kedah, pihaknya berjaya membuat tangkapan pertama di kawasan itu dengan menahan empat lelaki warga tempatan disyaki mengambil khazanah hutan di kawasan berkenaan.
“Ia juga dibuat pada 9 Nov lalu. Hasil pemeriksaan, kita berjaya merampas beberapa alat penebangan pokok yang disyaki bertujuan untuk mengambil khazanah Hutan Simpan Ulu Muda. Tidak sepatutnya mereka ceroboh.
“Antara yang dirampas adalah satu unit pemotong pokok, empat bilah golok, ia adalah untuk mengambil pokok keranji, paling tidak boleh diterima adalah pokok keranji juga mereka tebang,” katanya.
Menurutnya, pemburu haram ini disiasat bawah Seksyen 68, Seksyen 29 dan Seksyen 90 Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010, jika sabit kesalahan hukuman denda boleh dikenakan tidak lebih RM100,000 dan penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya.
Zainal berkata, beliau tidak menolak kemungkinan pemburu haram mendapat pertolongan warga tempatan, namun enggan mendedahkan lebih lanjut sama ada ia turut melibatkan masyarakat Orang Asal.
“Ada pemburu haram masuk ke dalam negara masuk dengan cara yang tertib. Laluan untuk mereka masuk ke dalam negara kita akan buat siasatan, tetapi ada orang tempatan yang membantu mereka. Kita tahu benda ini berlaku, terutamanya di kawasan Endau Rompin,” katanya.
Operasi itu melibatkan 106 pegawai Perhilitan Semenanjung dan 143 pegawai dan anggota Batalion 3 Senoi Praaq, dan Batalion 18 Pasukan Gerakan Am Pengkalan Hulu.
Artikel ini disiarkan pada 12 November 2019 | FREE MALAYSIA TODAY