Harimau terkena jerat di Tapah kini sihat

SUNGKAI: Harimau jantan yang diselamatkan selepas termasuk jerat babi dipasang seorang bekas tentera di Kampung Batu 10, Tapah, Ahad lalu, menunjukkan perkembangan positif ketika dirawat di Pusat Menyelamat Hidupan Liar Kebangsaan (NWRC), di sini, semalam.

Selepas dipindahkan ke pusat NWRC petang kelmarin, haiwan liar yang diberi gelaran ‘Yeop Tapah’ itu didapati mengalami kecederaan bengkak di kaki hadapan sebelah kanan akibat jerutan dawai perangkap.

 Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) Perak, Rozidan Md Yasin, berkata kecederaan itu bagaimanapun tidak serius dan haiwan itu boleh berjalan seperti biasa tanpa ada sebarang luka.

  “Saya dimaklumkan Yeop Tapah menunjukkan kecergasan yang baik cuma buat masa ini haiwan itu masih agresif kerana dalam keadaan tertekan. Ketika proses menyelamatkannya semalam (kelmarin), aspek keselamatan sangat diambil berat kerana haiwan ini boleh menyerang manusia kerana tercedera terkena jerat.”

Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) Perak, Rozidan Md Yasin

 “Jerat yang dipasang pula bukan dawai biasa tetapi dawai brek motosikal kira-kira dua meter panjang yang diikat pada pokok sebesar paha orang dewasa. Ketika harimau ini meronta untuk melepaskan diri, pohon itu tercabut bersama akar namun tersangkut pada akar pohon lain,” katanya pada sidang media selepas melawat harimau itu di NWRC.

 Rozidan berkata, sekiranya harimau itu berjaya melarikan diri dalam keadaan kakinya terjerut dengan jerat, kemungkinan kecederaan serius berlaku dan tidak mustahil haiwan liar itu boleh mati.

 Beliau berkata, antara faktor hidupan liar semakin pupus adalah melalui jerat yang ditinggalkan untuk beberapa hari sehingga menyebabkan haiwan yang terkena perangkap itu mati dalam keadaan yang menyayat hati.

 “Saya menganggap perbuatan memasang perangkap ini adalah zalim kerana haiwan yang terkena jerat itu boleh mati dalam keadaan sengsara.

“Oleh itu, saya menasihatkan untuk tidak memasang jerat sekiranya untuk berburu sebaliknya mencari inisiatif lain untuk mendapatkan sumber makanan.

“Sepanjang 2012 hingga 2015, sebanyak 56 operasi memusnahkan jerat sudah dilakukan dan operasi ini akan berterusan bagi menjamin kesejahteraan pemuliharaan hidupan liar,” katanya.

Katanya, mengikut Seksyen 29 Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010, individu yang memiliki jerat boleh dikenakan denda sehingga RM100,000 atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya.

Mereka yang memasang jerat pula boleh dikenakan denda sehingga RM50,000 atau penjara maksimum dua tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Dalam lawatan berkenaan, Yeop Tapah ditempatkan di kandang berasingan dan ia menjadi harimau yang ke-22 dimasukkan ke NWRC selepas kali terakhir tiga harimau dari Johor bernama Jay, Dee dan Tee dimasukkan pada tahun 2014.

Artikel ini disiarkan pada 16 Februari 2016 | BERTA HARIAN ONLINE

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to Top