Negara memiliki subspesies harimau yang unik jenis Harimau Malaya dengan nama saintifiknya Panthera tigris jacksoni sempena nama tokoh pemuliharaan terkenal, Peter Jackson sebagai memperingati usaha dan jasanya menyelamatkan hidupan liar ini.
Saintis dari Makmal Kepelbagaian Genetik Institut Kanser Negara di Amerika Syarikat menjalankan analisis deoxyribonucleic acid (DNA) terhadap pelbagai sampel darah, kulit dan bulu yang diambil daripada 134 harimau yang ditangkap di rantau Asia.
Malah, sesetengah spesimen dalam kajian itu diperoleh daripada harimau yang ditangkap Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) dalam situasi konflik manusia-harimau dan ia adalah daripada baka tulen.
Saintis terbabit juga mendapati jenis harimau di Semenanjung Malaysia tidak dijumpai di tempat lain atau di luar negara ini.
Kita semua bangga dengan spesies Harimau Malaya ini, apatah lagi ia dikenali serata dunia kerana memiliki belang yang unik.
Ia bukan saja menjadi lambang eksklusif bagi institusi ataupun organisasi tertentu, bahkan disemarakkan lagi sebagai identiti negara dalam sukan bola sepak. Harimau Malaya sinonim untuk menggambarkan betapa kegagahan, keberanian dan semangat juang yang tinggi.
Namun, hari ini Harimau Malaya atau dikenali sebagai harimau belang mungkin masih boleh dilihat di beberapa zoo di negara kita. Hakikatnya, bilangan hidupan liar yang menjadi kebanggaan kita ini semakin kritikal dan meruncing.
Pakar menganggarkan kini hanya terdapat kira-kira 250 hingga 340 Harimau Malaya di Semenanjung Malaysia berdasarkan kajian yang dijalankan sejak 2010 hingga 2013.
Hasil kajian ini menunjukkan bahawa anggaran populasi semasa adalah kurang berbanding anggaran sebelum ini iaitu sebanyak 500 ekor harimau di Semenanjung Malaysia.
Tindakan Rakyat untuk Harimau
– Dari 9 hingga 23 Mac 2015, Tindakan Rakyat untuk Harimau (CAT) mengambil bahagian dalam proses pengundian antarabangsa dianjurkan Persatuan Pemuliharaan Alam Semulajadi Eropah (EOCA3).
– Program yang mendapat undian terbanyak akan memenangi geran bernilai RM118,214.
– Jika program CAT menerima undian terbanyak, pihak MYCAT dapat mengembangkan program dan menambah bilangan sukarelawan ke Koridor Hidupan Liar Sungai Yu di Pahang.
– Koridor itu menghubungkan Taman Negara – kawasan teras Harimau Malaya terbesar dengan Banjaran Titiwangsa. Ia membentuk landskap harimau kelima terbesar di dunia.
Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 20 Mac 2015 @ 5:26 AM | Harian Metro Online