Amanlah ‘AWANG BESUL’ Di sana

SUNGKAI – Perkenalan pendek bersama ‘Awang Besul’ berakhir dengan berita menyedihkan apabila sang harimau belang tersebut telah disahkan mati pada jam 5.30 pagi tadi di Pusat Menyelamat Hidupan Liar (NWRC).

Awang Besul, seekor harimau Malaya yang tular di media sosial baru-baru ini kerana dijumpai berkeliaran dalam keadaan dehidrasi, mengalami kecederaan pada bahagian kaki dan keradangan mata di Kampung Besul Lama, Terengganu. Harimau tersebut, yang disahkan positif ‘Virus Canine Distemper’ oleh Doktor Veterinar Jabatan PERHILITAN menyatakan kebarangkalian untuk sembuh adalah sangat tipis.

“Pelbagai usaha intensif untuk merawat dan menyelamatkan ‘Awang Besul’ telah dijalankan, namun, dukacita dimaklumkan pada 23 Julai 2019 lebih kurang jam 5.30 pagi, “Awang Besul” telah disahkan mati oleh Doktor Veterinar Jabatan PERHILITAN di NWRC dan Post Mortem akan dijalankan secepat mungkin.”

– PERHILITAN

Info “Canine Distemper”

“Canine Distemper” adalah penyakit yang disebabkan oleh virus yang mudah menyerang haiwan domestic iaitu anjing atau lain-lain hidupan liar termasuk spesies harimau. Jika penyakit ini terkena pada harimau ia akan menunjukkan tingkah laku tidak takut kepada manusia dan kebarangkalian harimau untuk sembuh adalah sangat tipis. Pihak Jabatan tidak menolak kemungkinan ‘Canine Distemper’ yang dihadapi Awang Besul disebarkan oleh haiwan liar disekitar Kampung Besul Lama, Bukit Besi, Dungun Terengganu.

Info Terkini

Pihak Jabatan PERHILITAN masih memantau kawasan tersebut dan memasang perangkap harimau bagi memastikan keselamatan penduduk di sekitar Kampung Besul Lama, Bukit Besi, Dungun Terengganu. Kementerian Air, Tanah dan Sumber Asli (KATS) menyeru orang ramai menyalurkan maklumat terus kepada Jabatan PERHILITAN dengan menghubungi talian (1-800-88-5151) jika terserempak dengan harimau tersebut.