Airasia Turut Serta ‘Kempen Selamatkan Harimau Malaya’

SEPANG, 13 November 2019 – Pesawat ‘livery’ atau rekaan hiasan khas ‘Selamatkan Harimau Malaya’ baru sahaja dilancarkan AirAsia bagi menyokong kempen negara yang bertindak melindungi populasi Harimau Malaya yang semakin pupus.

Dekorasi kapal terbang Airbus A320 tersebut merupakan salah satu usaha AirAsia dalam menyokong agenda pemuliharaan alam sekitar serta menggalakkan seluruh rakyat Malaysia memberi sokongan mereka terhadap program kerajaan.

Pesawat tersebut telah dilancarkan oleh Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli, Yang Berhormat Dr Xavier Jayakumar bersama Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia Tan Sri Tony Fernandes dan Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Malaysia Riad Asmat tempoh hari di Sepang dengan jayanya.

“Harimau Malaya adalah simbol kekuatan dan juga sebahagian daripada identiti negara kita. Kita tidak mahu anak-anak kita membesar di dunia yang mana Harimau Malaya hanya wujud sebagai imej pada jata negara sahaja. Itulah sebabnya kita harus memainkan peranan untuk melindungi mereka. Saya berharap pesawat khas ini dapat membantu memacu kempen pemuliharaan hidupan liar oleh pihak kerajaan ke tahap seterusnya.”

– Ketua Hal Ehwal Global & Kelestarian Kumpulan AirAsia, Shasha Ridzam

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia, Tan Sri Tony Fernandes turut berkata, “Tahniah kepada Kementerian Air, Tanah dan Sumber Asli di atas langkah-langkah proaktif yang diambil dalam melindungi Harimau Malaya dan kami berbangga dapat memainkan perananan kami dalam membantu kempen ini.”

Antara selebriti yang hadir dan menyokong usaha Selamatkan Harimau Malaya.

Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli, Yang Berhormat Dr Xavier Jayakumar berkata, “Kami bangga kerana kempen Selamatkan Harimau Malaya dan Hutan Kita kini disokong oleh AirAsia. Simbol kebangsaan kita yang kian pupus amatlah membimbangkan dan bukti yang jelas bahawa kita perlu melakukan sesuatu untuk pemuliharaan harimau kita. Selain itu, Kempen ‘Hutan Kita’ juga amat penting, kerana tanpa hutan kita, harimau dan hidupan liar mungkin tidak akan ada. Kami berharap dengan sokongan AirAsia, kami dapat meningkatkan kesedaran mengenai mesej penting ini bukan sahaja di Malaysia tetapi juga di rantau ini untuk menyelamatkan harimau kita.”

Selain itu, AirAsia juga turut membantu dalam kempen alam sekitar lain yang dianjurkan Kementerian Air, Tanah dan Sumber Asli dengan menyokong lawatan ke Pusat Hidupan Liar Kebangsaan (NRWC) di Sungkai, Perak bersama Allstars pada Oktober lalu, di samping memberi dana penerbangan pergi dan balik kepada 10 orang asli bagi menghadiri Pameran Hutan Kita pada Ogos tahun ini.

Antara usaha lain kelestarian AirAsia termasuklah program kesedaran pengurusan sisa dan pengurangan karbon, program pelancongan yang berasaskan komuniti seperti JourneyD serta pengumpulan dan pemisahan barang-barang kitar semula. AirAsia turut meneruskan inisiatif perusahaan sosial di serata Asean melalui yayasan mereka, AirAsia Foundation.

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to Top