Oleh: Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin
PUTRAJAYA: Sebanyak lima ekor Harimau Malaya mati termasuk menjadi mangsa ‘roadkill’ (terbunuh di jalan raya oleh kenderaan) dalam tempoh dua tahun sejak 2023 hingga tahun ini.
Menyifatkan insiden kematian itu membimbangkan, Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) memaklumkan, sembilan ekor harimau turut ditangkap dalam tempoh sama di kawasan konflik dengan manusia.
“Kejadian-kejadian ini menunjukkan bahawa habitat Harimau Malaya terganggu hingga menyebabkan Harimau Malaya terpaksa keluar daripada habitat semula jadinya.
“Namun, NRES percaya kesepakatan Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan-kerajaan Negeri dalam mengukuhkan pemeliharaan dan pemuliharaan spesies ikonik negara Harimau Malaya seperti yang ditunjukkan pada hari ini akan menjadi pencetus untuk melaksanakan lebih banyak tindakan luar biasa.
“Ini adalah penting bagi mengukuhkan lagi agenda negara dalam memastikan spesies yang menjadi simbol Jata Negara tidak pupus buat selama-lamanya,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Perkara itu dibangkitkan dalam Mesyuarat National Tiger Implementation Working Group (MyTWG) semalam yang dipengerusikan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad.
Mesyuarat dimaklumkan bahawa seluas 90,000 hektar kawasan perlindungan daratan baharu telah diwartakan di Kedah, Perak, Selangor, Terengganu dan Negeri Sembilan melalui instrumen ‘Ecological Fiscal Transfer for Biodiversity Conservation’ (EFT) yang menyumbang kepada pengukuhan pemuliharaan habitat Harimau Malaya di peringkat negeri.
Mengulas lanjut, NRES berkata, mesyuarat juga bersetuju dengan pembangunan Pelan Tindakan Krisis Harimau Malaya (Malaysan Tiger Crisis Action Plan – MTCAP) 2021-2030 bagi menangani krisis populasi Harimau Malaya serta menstabilkan populasi Harimau Malaya kepada 400 ekor menjelang tahun 2030.
“Jabatan PERHILITAN Semenanjung Malaysia akan melaporkan status pelaksanaan tindakan Pelan pada Mesyuarat MyTWG dan Pasukan Petugas Kebangsaan bagi Konservasi Harimau Malaya (National Tiger Conservation Task Force – MyTTF),” menurut kenyataan itu.
Sementara itu, jelas NRES, sejak tahun 2021 sehingga Julai lalu, sejumlah 354 tangkapan warga tempatan dan 73 warga asing melibatkan sitaan berjumlah RM150 juta dicatatkan menerusi Operasi Bersepadu Khazanah (OBK).
Ini termasuk tangkapan empat warga Kemboja di Rizab Harimau Diraja Al-Sultan Abdullah pada 4 Jun lalu.
“Pelaksanaan rondaan dan kawalan biodiversiti melalui pelantikan Renjer Komuniti dan OBK telah digerakkan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia, pihak berkuasa negeri dan pertubuhan bukan kerajaan,” menurut kenyataan itu.
This article was published on 23 August 2024 | Source: Buletin TV3